Judi Perosak Akidah, Syariat dan Akhlak – Khutbah Jumaat

Sidang jumaat yang dirahmati allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kehadrat allah s.w.t dengan sebenar-benar bertakwa,melaksanakan segala suruhannya dan menjauhi segala larangannya,mudah-mudahan kita akan mendapat kejayaan,ketenangan dan kemuliaan dunia dan akhirat.

Sidang jumaat yang dirahmati allah,

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan bahawa tabiat judi hidup dan berkembang dikalangan masyarakat kita.Judi dikategorikan sebagai aktiviti munkar yang telah lama wujud didunia ini.Malah menurut catatan sejarah,raja parsi bernama Ardasyir bin babak merupakan  orang pertama mencipta permainan dadu.

Dalam masyarakat melayu, kita dihidangkan sejarah  pak kaduk  dan mempertaruhkan kampungnya sebagai taruhan.Akibat tipu daya raja, pak kaduk kalah dan kampungnya tergadai.Cerita ini menunjukkan aktiviti judi berakar-umbi sejak zaman -berzaman tanpa mengira status dan keturunan.

Kita sering melihat pada hari-hari yang tertentu,sesetengah jalan raya menjadi sesak sehingga pemandu-pemandu kenderaan menyangka,mungkin ada kemalangan berlaku,tetapi apa yang sebenarnya berlaku ialah terdapat kenderaan-kenderaan yang diletakkan ditepi jalan menghalang lalu lintas kerana pemiliknya berpusu-pusu membeli nombor ekor apa yang lebih menyedihkan ialah dikalangan orang yang berpusu-pusu itu  terdapat orang islam yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Tidak kira apa naba yang diberi apabila ia mempunyai unsur pertaruhan ia dianggap sebagai judi.Musa bin Uqbah daripada Ibnu Umar berkata :

“Judi itu ialah pertaruhan”.

Sidang jumaat sekalian,

Judi merupakan dosa besar dan sama seperti meminum arak,bertenung nasib dan menyembah berhala.Ia merupakan amalan syaitan dan syaitan merupakan makhluk yang dilaknat oleh allah s.w.t. Didalam tafsir Ruhul maani dalam membicarakan ayat 90 surah al-maidah menyatakan bahawa:

“Allah s.w.t menyebut arak dan judi bersama patung berhala dan tenung nasib untuk menunjukkan arak dan judi sama keji dan sama besar dosanya dengan menyembah patung dan bertenung nasib”.

Didalam al-quran juga, ayat berkaitan judi sering dikaitkan dengan arak yang menunjukkan betapa ia amat dimurkai allah yang sudah tentu membawa banyak masalah sosial seperti jenayah,membunuh,berzina,peras ugut,rasuah dan lain-lain lagi.

Orang yang berjudi sebenarnya telah melakukan keingkaran kepada allah s.w.t dan hidupnya tidak berada dalm ketenangan semasa didunia lagi.

Selain dikira sebagai perbuatan keji,judi boleh merosakkan akidah,memperoak-perandakan syariat dan meruntuhkan akhlak hingga ulamak mengatakan bahawa perbuatan mengajak berjudi itu sudah dikira berdosa.Sebagaimana imam al-zahbi mengatakan dalam kitab al-kabair:

“Kalau hanya mengajak berjudi sudah berdosa,apatahlagi bermain judi,maka sudah tentu dosanya besar”.

Sidang jumaat sekalian,

Tabiat berjudi bukan sahaja membawa keburukkan dalam urusan dunia,tetapi juga urusan agama, Malah pribahasa “Tahi judi” itu sendiri menggambarkan bahawa ia sesuatu yang menjijikkan lagi najis dan tidak diterima oleh islam.

Cuba kita renungkan,belum pernah berlaku orang yang memenangi perjudian menjadi kaya raya.Jika pun ia menjadi kaya,ia merupakan kemurkaan dari allah.Apabila ia dapat mendirikan rumah besar sekali pun, belum tentu ia bahagia atau selesa didalam kedamaiannya.Jika ia membuka gedung perniagaan,belum tentu perniagaannya akan bertambah maju.Ini adalah kerana punca perolehan hasil adalah    dari sumber yang tidak berkat lagi haram.

Sesungguhnya tabiat berjudi boleh merosakkan akidah,bila mana mereka terlibat dengan unsur-unsur pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor.Kegiatan memuja kubur,pohon besar,keris hikmah,tangkal azimat boleh membawa syirik kepada allah.Terdapat juga peminat nombor ekor yang menemui bomoh nombor untuk mendapatkan nombor bertuah.Bomoh tersebut tersebut akan menggunakan sihir dan tipu daya bagi memenuhi hajat pemohon dengan memuja atau melalui amalan menurun.Perbuatn ini jelas merosakkan akidah ,kerana kita meminta pertolongan kepada pihak lain dan bukan kepada allah.Rasulullah s.a.w bersabda:

“Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan .Sahabat bertanya apakah perkara-perkara itu ya rasulullah?. Baginda menjawab:Syirik kepada allah,sihir,membunuh jiwa yang diharamkan oleh allah membunuhnya kecuali dengan kebenaran,memakan riba’,memakan harta anak yatim,lari dari medan perang dan membuat tuduhan jahat keatas perempuan mulia lagi beriman”.

(Hadis riwayat Bahari)

Kerosakkan dari sudut syariat pula dapat kita lihat apabila kaki judi ini kalah.Mereka akan membuat perkara yang dilarang syarak bagi mendapatkan wang atau modal untuk berjudi seperti mencuri,peras ugut dan merompak.Institusi keluarga menjadi musnah.Tanggungjawab kepada isteri dan anak akan terabai.Nafkah tidak terjaga,kerana segala harta yang ada dihabiskan untuk berjudi. Malah mereka sanggup meminjam kepada along bagi mendapatkan wang segera untuk berjudi bagi memenuhi impian menjadi kaya yang tidak pernah menjadi realiti.Kekalahan dalam perjudian juga menyebabkan seseorang menjadi pendendam hingga boleh membawa kepada pembunuhan.

Tabiat berjudi juga menyebabkan seseorang suka berhutang.Apabila hutang tidak dapat dilunaskan,maka satu tabiat lagi yang menyerlahkan akhlak yang buruk ialah suka menipu.Ia akan memberi pelbagai alasan apabila pemiutang datang untuk menuntut haknya.Tabiat berjudi juga menyebabkan individu dihinggapi penyakit keluh kesah.Ini berlaku apabila  ia leka berjudi menyebabkan jiwanya khusyuk dan lidahnya kering dari berzikir sedangkan zikir adalah benteng kegelisahan.Apabila berada dalam kegelisahan,ia mudah diperdaya oleh syaitan.

Sidang jumaat yang dihormati,

Sedarlah!, bahawa berjudi tidak membawa sebarang manfaat,malah boleh menjerumuskan seseorang kepada memakan harta haram atau harta orang lain secara batil,yang mana ini  amat ditegah oleh allah s.w.t sebagaimana firmannya dalam surah al-baqarah ayat 188:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang batil (yang salah menurut syarak).Dan janganlah pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa,pada hal kamu mengetahui (salahnya)”.

Maka jangan salahkan anak kita jika ia tidak cerdik, menjadi kaki rempit,terbabit dengan bohsia atau suka melawan kata kedua ibu bapa.Ini adalah kerana sebagai ibu bapa mungkin telah memberikan nafkah makan minum dan pakaian dari sumber yang haram melalui kegiatan berjudi.

Perlu juga dijelaskan bahawa berjudi bukan dikira sebagai mencari rezeki.Malah harta yang diperolehi dari perjudian tidak boleh dibersihkan dengan menggunakan untuk beramal jariah seperti bersedekah atau menjamu selera rakan taulan.Ia bukan sahaja tidak membawa apa-apa kesan selain mendapat dosa dan menempah tempat dalam api neraka.Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa yang memperolehi harta dari sumber dosa (haram seperti judi dan sebagainya),lalu dia menggunakannya untuk menghubungkan silaturrahim atau bersedekah atau berderma pada jalan allah, maka dikumpulkan semua dan diciptakan bersamanya (orang tersebut) kedalam neraka jahanam”.

(Riwayat Abu Daud)

Sebagai umat islam,kita perlulah bersama-sama mencegah kemunkaran dan membasmi kegiatan judi ini mengikut undang-undang enakmen jenayah syariah negeri selangor no.9 tahun 1995 seksyen 17(1).

Sebagai ibu bapa,kita hendaklah berusaha menjauhkan anak-anak kita daripada mendekati aktiviti-aktiviti perjudian,yang tanpa disedari seperti tikan gula-gula mainan,judi internet dan lain-lain lagi.

Selain bertaubat nasuha,satu langkah bagi membersihkan diri dari harta tersebut adalah dengan menyerahkannya kepada baitulmal mais,bagi menjalankan kebajikan kepada masyarakat.

“Sesungguhnya syitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran arak dan judi itu serta mahu memalingkan kamu daripada mengingati allah dan daripada mengerjakan solat.Oleh itu,berhentilah (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu).

(Al-Maidah ayat 91)

Ya-allah,engkaulah tuhan yang maha berkuasa,kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.Justeru kami pohon kehadratmu ya- allah,tetapkanlah iman kami,tingkatkanlah amal kami,kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang engkau redhai,lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar,kemarau panjang,wabak penyakit,persengketaan,kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian,negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Artikel Berkaitan


avatar

About Editor

Artikel yang ditulis disini bolehlah diambil untuk manafaat umum tetapi perlu membuat pautan kembali kepada laman blog ini. Tiada kos diperlukan untuk anda membina link tersebut bukan?
This entry was posted in Info Muslimin and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Judi Perosak Akidah, Syariat dan Akhlak – Khutbah Jumaat

  1. avatar Syafrizal says:

    bila tgk orang yg tahi judi ni
    rumah, tanah, kereta sanggup dijual semata-mata untuk bayar hutang judi..
    tu pasal judi haram dalam Islam
    .-= Syafrizal´s last blog ..Masukkan Kalendar Google ke dalam blog anda =-.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge