Fahami Konsep Halal

PERKATAAN ‘halal’ membawa erti cara hidup orang Islam yang menitikberatkan toyibban iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta ‘halalan’.
PERKATAAN ‘halal’ membawa erti cara hidup orang Islam yang menitikberatkan toyibban iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta ‘halalan’.

Islam dengan jelas memerintahkan umatnya mengambil sesuatu yang halal dan meninggalkan yang haram berdasarkan firman Allah dan sabda Rasulullah s.a.w seperti dalam Surah Al-Baqarah Ayat 172 yang bermaksud: “Wahai orang beriman, makanlah makanan halal yang Kami kurniakan kepada kamu”.

Pasaran produk halal bukan saja terhad kepada negara Islam dan penduduk Muslim malah penerimaan terhadap barangan dan perkhidmatan halal kini semakin meluas di kalangan masyarakat bukan Islam.

Ini berikutan peningkatan kesedaran terhadap produk halal yang sinonim dengan produk yang selamat, berkhasiat, bersih dan suci.

Justeru, peluang yang meluas untuk pasaran produk halal seharusnya direbut usahawan, terutama di kalangan usahawan Muslim dengan permintaan produk halal yang tinggi di seluruh dunia. Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Pahang, Abu Samah Shabudin, berkata perkara yang menyedihkan apabila ramai pengeluar makanan halal datang dari negara bukan Islam.

“Pengeluar utama daging dunia adalah dari Brazil, Amerika Syarikat, Argentina, Australia, Kanada, China, India dan New Zealand.

“Jika di tinjau di Asia Tenggara pula, Thailand sudah membina nama sebagai pengeluar makanan halal,” katanya.

Menurutnya, usahawan bukan Islam di negara ini lebih menguasai pengeluaran makanan halal, berbanding usahawan Muslim.

“Bagaimanapun, kita bersyukur kerana masih ada usahawan Muslim yang berusaha untuk berebut peluang menguasai pengeluaran makanan halal.

“Sebagai contoh, syarikat milik penuh Bumiputera dari Kedah, Herba Penawar Al-Wahida (HPA) yang terkenal dengan pelbagai produk harian yang halal.

“Meskipun kita ‘malas’ memikirkan mengenai isu ini, apa yang membimbangkan ialah kesan kepada diri dan kerukunan bangsa kita pada masa akan datang.

“Iman adalah teras pembentukan jiwa dan peribadi Muslim selain pemakanan halal mampu melahirkan Muslim yang sempurna,” katanya.

Pengarah Jati Mahkota HPA cawangan Kuantan, Jaafar Abd Ghani, berkata masyarakat bukan Islam di Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih mendalam mengenai konsep halal dan haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenarnya.

“Kita perlu mengubah tanggapan mereka makanan yang halal bukan makanan daripada khinzir saja, tetapi meliputi pelbagai konsep lain yang perlu dijelaskan dengan lebih mendalam.

“Antara konsep yang perlu diambil perhatian adalah punca makanan itu sendiri seperti daging yang digunakan.

“Kebanyakan masyarakat bukan Islam menganggap hanya khinzir makanan yang diharamkan dalam Islam, tetapi mereka perlu dijelaskan mengenai haiwan lain yang haram dimakan seperti haiwan bertaring, haiwan yang hidup dua alam dan binatang yang jijik seperti cicak,” katanya.

Katanya, kaedah penyembelihan haiwan juga perlu dijelaskan kepada masyarakat bukan Islam yang kebanyakannya tidak tahu konsep penyembelihan haiwan dalam Islam.

“Peniaga makanan bukan Islam juga perlu memastikan haiwan yang mereka beli di pasaran perlu disembelih oleh syarikat yang mendapat pengiktirafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum dipasarkan, ” katanya.

Menurutnya, cara pengurusan makanan serta pemprosesannya perlu terhindar daripada sebarang najis atau bercampur dengan bahan haram di sisi Islam.

Katanya, campuran bahan makanan juga wajar diberi perhatian sama ada ia bebas dari campuran alkohol atau minyak lemak babi.

“Ada restoran yang mempamerkan lambang halal, tetapi bahan makanannya dicampur dengan alkohol atau barang terlarang di sisi Islam.

“Ia berlaku di kebanyakan restoran serta hotel yang menggunakan khidmat tukang masak luar negara,” katanya.

Sumber : MyHalal

Artikel Berkaitan


avatar

About Editor

Artikel yang ditulis disini bolehlah diambil untuk manafaat umum tetapi perlu membuat pautan kembali kepada laman blog ini. Tiada kos diperlukan untuk anda membina link tersebut bukan?
This entry was posted in Info Muslimin and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


CommentLuv badge